Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 5 DISEMBER 2024 : Sebanyak RM6.692 juta perbelanjaan telah dikeluarkan merangkumi pelbagai aspek komponen aktiviti bagi menjayakan projek perintis Projek Wagyu Pahang setakat ini.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak berkata, antara komponen berkenaan termasuklah pembelian baka ternakan Wargyu.
Katanya, sehingga 15 November lalu, jumlah ternakan lembu wagyu di bawah Projek Wagyu Pahang sebanyak 262 ekor melibatkan 156 induk betina wagyu, lima pejantan dan 101 ekor anak yang lahir di daerah Raub.
“Kita ada Full Blood atau 100 peratus lembu Wagyu yang asli dan kita ada kacukan F1. Kemudian kita ada pembelian semen (air mani) dan embrio yang kita buat permanian beradas (Artificial Insemination – Al).
“Kemudian kita ada beli mesin ultra sound dan kita buat kursus wagyu di Akademi Wagyu di Jerman di mana kita hantar tiga kakitangan kita dari Jabatan Veterinar Pahang.
“Kita juga mengadakan kursus permanian beradas dan pemindahan embrio yang melibatkan 16 peserta di Indonesia. Kemudiannya kita membeli tambahan baka Wagyu dan memberikan latihan pakar penyembelihan seramai 60 orang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan dikemukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapa Haji Long dalam Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Tambahnya lagi, sebanyak tiga ladang pengganda telah dilantik di bawah syarikat peneraju AGK Dairy Fresh Sdn Bhd di mana ladang pengganda ini dalam proses penerimaan lima ekor induk wagyu setiap ladang, manakala, terdapat tiga ladang pengganda lagi dalam proses pengesahan kesesuaian infrastruktur ladang.
“Pada masa yang sama kita juga menerima permohonan daripada penternak-penternak lain untuk menyertai Program Kacukan Wagyu Pahang menggunakan kaedah permanian beradas (Artificial Insemination – Al),” ujarnya memaklumkan projek perintis Wagyu Pahang terbabit akan menjadi penanda aras kepada projek Wagyu negara.
Menjaawab soalan tambahan yang dikemukan oleh ADUN Luit, YB. Dato Mohd Sofian Abd Jalil berkaitan bilakah daging Wagyu Pahang itu dapat dinikmati, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi berkata, projek berkenaan masih diperingkat awal dan untuk menghasilkan daging lembu Wagyu dengan pembentukan bebenang lemak (marble) yang cantik memerlukan satu tempoh yang agak lama.
“Selepas dilahirkan, lembu berkenaan perlu diberikan susu dan makanan khas selepas berusia 13 minggu bagi menghasilkan bebenang lemak yang cantik jadi kita libatkan UPM (Universiti Putra Malaysia) dalam kajian ini.
“Jadi tunggulah. Lepas 13 minggu kita akan bagi makanan untuk membentuk marble. Selepas itu perlu tunggu 30 bulan baru boleh disembelih. Untuk lembu projek rintis ini kita kena sabar. Kita biakkan dahulu,” katanya lagi.
Sumber -PAHANGMEDIA